Pada asasnya, Islam tidak pernah menolak
sebarang bentuk aktiviti sukan malah Islam sangat menggalakkan umatnya bersukan
sebagai suatu aktiviti riadah yang menyihatkan. Rasulullah s.a.w turut
menganjurkan umatnya menyertai aktiviti sukan sebagai suatu aktiviti senaman
yang paling mujarab.
Malah Rasulullah s.a.w sendiri pernah berlumba
lari dengan isterinya Aisyah. Aisyah mengatakan:
“Rasulullah bertanding dengan saya dan saya
menang. Kemudian saya berhenti, sehingga ketika badan saya menjadi gemuk,
Rasulullah bertanding lagi dengan saya dan ia menang, kemudian ia bersabda:
Kemenangan ini untuk kemenangan itu.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) iaitu seri.
Dalam sukan, Islam telah menggariskan panduan
dan memperkeras persoalan menutup aurat. Justeru, perkaitan di antara sukan dan penglibatan kaum
wanita turut dibatasi dengan tata cara dan tertib yang telah digarispanduankan
oleh Islam bertujuan sebagai suatu penetapan bagi mencipta garis keseimbangan
di antara hal wanita Islam di dalam sukan dan kepentingan dalam memelihara
maruah dan kedudukannya sebagai seorang Muslim.
Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis
Fatwa dan Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh
Faysal Mawlawi menegaskan bahawa:
“Perkara asas yang perlu
dititikberatkan oleh seorang wanita Islam mengenai penyertaannya di dalam
aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang wanita Islam ialah
keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya.
Manakala aurat bagi
seorang lelaki Islam pula ialah dari pusat hingga ke lutut. Justeru, selagi
syarat dan peraturan penutupan aurat ini tidak dilanggar, maka, tidaklah
menjadi suatu kesalahan atau halangan bagi wanita mahupun lelaki melibatkan
diri mereka di dalam aktiviti sukan.”
Jika hendak dikatakan pakaian memainkan
peranan untuk meningkatkan prestasi peserta perkara itu memang benar. Tetapi
setakat mana prestasi itu meningkat?
Kita lihat sendiri pelari pecut wanita
Bahrain, Ruqaya Al Ghasara mengejut dan mengagumkan peminat olahraga di Sukan
Asia di sini apabila meraih pingat emas dalam acara 200 meter walaupun
berpakaian menutup aurat dan bertudung.
“Malah katanya, dengan mengenakan pakaian
lengkap wanita Islam itu telah mendorongnya berlari lebih pantas.“Ia bukan satu
halangan untuk saya berlari pantas malah ia banyak mendorong saya membuktikan
bahawa wanita Muslim seperti saya juga boleh menang dengan berpakaian seperti
ini,” katanya.
“Pada perlumbaan akhir itu, Ruqaya mencatat
masa 23.19s. Sebelum ini beliau turut menang gangsa dalam acara 100m. Ketika
melakukan pecutan, hanya jelas muka dan tapak tangannya yang kelihatan manakala
sebahagian besar anggota tubuhnya ditutupi kemas. Sebaik melepasi garisan
penamat, Ruqaya mengangkat tangan kepuasan tetapi aurat dan tingkah lakunya
tetap dipelihara. Mengulas pakaian yang digunakannya, Ruqaya berkata, ia
menggunakan jenis kain yang dipilihnya sendiri walaupun kebiasaannya agak berat
untuk dibawa berlari.Sambil mengakui pelari pecut Amerika Syarikat, Marion
Jones sebagai idolanya, Ruqaya berharap pakaian yang digunakannya untuk berlari
itu mendorong wanita Muslim lain melibatkan diri dalam sukan agresif seperti
ini. Penampilan hebat Ruqaya itu turut menjadi agenda utama Doha mengadakan
ujian pakaian bagi wanita Muslim untuk melobi menjadi tuan rumah Olimpik 2016
nanti. “Memakai tudung membuktikan ia bukan halangan untuk mencipta kejayaan.
Berpakaian seperti ini jugalah yang telah melayakkan saya beraksi di kejohanan
dunia di Osaka, Jepun tahun depan,” tegasnya.
Jika kita lihat 15-20 tahun tahun dahulu,
pemain tennis wanita kesemuanya memakai pakaian penuh. Pada hari ini juga,
wanita di Iran memakai pakaian yang menutupi badan dan tudung ketika bermain
tennis. Jika mereka boleh mengapa anda tidak boleh?
Bagaimana pula dengan sukan renang? Dalam
masalah ini Dr Zakir Naik pernah mengatakan:
“Kita juga perlulah bersetuju bahawa di
dalam sukan renang semakin sedikit pakaian yang dipakai, semakin meningkat
prestasi peserta. Kerana itulah mereka menetapkan peserta lelaki untuk memakai
seluar dalam dan perempuan untuk memakai bikini.
Tetapi kita juga mesti faham dan bersetuju,
bahawa para peserta hanya dapat menunjukkan prestasi maksimum jika mereka tidak
memakai apa-apa pakaian ketika berenang. Tetapi adakah kamu akan menetapkan
perenang wanita untuk berenang dalam keadaan berbogel?
Mengapa perlu ada double standard? Jika kamu
katakan perkara tersebut sangat tidak sopan. “ Maka saya katakan bahawa tahap
kesopanan kamu serendah ini dan tahap kesopanan kami setinggi ini. Apa yang
sopan bagi kamu tidak sopan bagi kami. Maka mengapa kamu tidak cadangkan supaya
para perenang berenang dalam keadaan berbogel sahaja supaya prestasinya
meningkat? Tetapi tidak, kerana mereka mempunyai tahap kesopanan tertentu.”
Oleh itu aktiviti sukan dan riadah ini
tidak seharusnya menjadi faktor penyebab bagi wanita khasnya dan lelaki
khususnya lalai daripada memenuhi tuntutan agama dan kewajipan dunia. Individu
dan masyarakat Muslim tidak kira lelaki mahupun wanita dituntut supaya
mengimbangi di antara kehendak dirinya dan kewajipan yang dituntut agama.
No comments:
Post a Comment