Dalam satu perbincangan, seorang
siswi menceritakan masalah yang dihadapi berhubung dengan cara pemakaian.
Masalah bermula apabila berhadapan dengan persepsi keluarga dan rakan-rakan
setelah berubah daripada wanita yang berpakaian “liberal” kepada wanita yang
menutup aurat sepenuhnya seperti yang disarankan oleh Islam. Pandangan serong
terhadap pemakaian tudung labuh dan jubah menyebabkan siswi tersebut berasa
tersisih bukan sahaja terhadap pandangan masyarakat umum, tetapi pandangan
siswi-siswi yang bergiat dalam program berunsurkan dakwah. Penerimaan terhadap
perubahan berlaku agak sukar akibat sikap double-standard dan kronisme yang
diamalkan. Disebabkan mereka telah mendapat tarbiyah sekian lama dan menganggap
diri adalah terbaik, agak payah untuk menerima orang yang baru mengenal erti
tarbiyah yang sebenar. Apatah lagi berhadapan dengan ibu yang tidak memahami
sehinggakan si ibu menyuruh siswi tersebut kembali kepada pakaian lama.
Penyelesaian
Bercakap tentang perubahan, ia bukanlah satu perkara yang mudah semudah
mengalihkan sebatang pen daripada satu meja ke meja yang lain. Apatah lagi
berubah daripada segi pemakaian yang melibatkan persepsi masyarakat sekeliling
terhadap personaliti baru yang ingin dibentuk. Adalah penting adanya pemahaman
terhadap matlamat perubahan dan pengorbanan yang tinggi agar terus istiqamah
dengan perubahan.
Apa yang dilakukan oleh siswi tersebut adalah hijrah kepada kebaikan dan
memerlukan ketahanan mental dan mujahadah yang tinggi. Dalam satu perubahan,
sokongan daripada segi spiritual, emosi dan mental diperlukan bukan sahaja
dengan berharap kepada Tuhan, tetapi juga dari masyarakat sekeliling khususnya
mereka yang faham tentang Islam. Meskipun siswi tersebut baru mengenal erti
tarbiyah dan mula bergiat dalam program berunsurkan dakwah, rakan-rakan dalam
organisasi dakwah haruslah faham dan tidak memandang diri sebagai individu yang
bertaraf tinggi sehingga tidak layak berdamping dengan mereka yang baru
menerima hidayah.
Muslimat
Di sini, pentingnya pemahaman tentang konsep inverse response (respon
songsang ~ rujuk Pemikiran Sistemik) dalam kehidupan seharian. Setiap sesuatu
yang bersifat drastik memerlukan daya yang tinggi untuk diterima dan konsep
bersabar terhadap time delay (masa lengah yang diperlukan sebelum satu sistem
berfungsi) diperlukan. Sesuatu perubahan memerlukan visi yang jelas berdasarkan
ilmu wahyu agar kekuatan diperoleh walaupun keadaan sekitar sukar menerima.
Bagaikan susu yang sebelumnya bercampur dengan najis, kuman, urea dan darah di
dalam sistem badan seekor lembu akhirnya keluar sebagai susu yang suci yang
mendatangkan kebaikan kepada peminumnya. Dapat disimpulkan bahawa bagaimana
sukarnya susu itu keluar daripada badan seekor lembu melalui proses perahan
untuk bebas daripada unsur-unsur negatif, begitulah sukarnya sesuatu perubahan
untuk dilaksanakan.
Persekitaran memerlukan masa untuk menerima sesuatu kelainan. Adalah
penting pemahaman tentang aurat kerana ia melibatkan penjagaan penglihatan yang
berkaitan secara langsung dengan hati dan fikiran yang dipengaruhi oleh nafsu
dan syaitan. Aurat yang dimaksudkan bukan sahaja terhadap kaum wanita, tetapi
juga kepada kaum lelaki di mana sesetengahnya yang kurang sensitif menganggap
aurat lelaki tidak berapa penting sehingga memakai seluar yang menampakkan
lutut ketika bersukan. Bagi seorang wanita, aurat adalah perkara yang sangat
besar dan skop aurat adalah lebih luas pada tubuh mereka berbanding lelaki.
Manakala dalam institusi kekeluargaan pula, ibu bapa memainkan peranan penting
terhadap pentarbiyahan setiap anak. Bahkan, mereka juga perlu ditarbiyah dan
diberi peringatan agar tidak alpa akan arus dunia semasa yang membawa kepada
kebatilan.
Haba Pendam Tentu dan Konsep Aurat
Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan dalam
bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat. Jika dikaji
tentang formula yang digunakan:
J = mc x tetha
J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek
yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.
m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu.
c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim
tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa.
tetha ialah perubahan suhu.
Eksperimen 1: Haba Pendam Tentu (Fizik Tingkatan 4- BAB 2.3)
Abstrak/Pengenalan
Dalam kajian ini, “eksperimen” dilakukan ke atas 3 jenis wanita:
wanita A- wanita bertudung labuh, berjubah dan menjaga lengan daripada
terdedah
wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup aurat
wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang lurus setelah
melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan kehalusan kulit lengan,
mendedahkan kerampingan bentuk badan dan berhias laksana model-model muka
hadapan majalah hiburan.
Tujuan
Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap
tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian.
Hipotesis
Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan
dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas
tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.
Inferens
Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai tahap
ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan yang lemah.
Pembolehubah manipulasi
c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu
kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan dengan ketahanan
seseorang terhadap tekanan yang dikenakan.
Bercakap tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu. Ramai yang
membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas daripada suatu kongkongan.
Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan Islam) mempersoalkan
istilah baju kurung. Adakah istilah baju kurung tercipta kerana sifatnya
“mengurung” wanita di Malaysia? Sehinggakan ramai wanita sekitar KL dan
Selangor lebih suka memakai jeans dan t-shirt?
Pembolehubah malar
m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu. Anggap jisim, bentuk
badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita adalah
sama.
tetha atau perubahan suhu. Ia adalah tekanan yang diberi secara automatik
oleh Pencipta alam di mana wanita berhadapan dengan perubahan biologi seperti
haid (datang bulan), nifas (keadaan yang berlaku semasa bersalin), menopause
(berlaku pengurangan hormon estrogen) dan tekanan persekitaran (kerja,
pelajaran dan lain-lain).
Pembolehubah bergerakbalas
J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai
jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. Ia berkaitan dengan setinggi mana
tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental ketiga-tiga jenis wanita terhadap
daya tekanan yang diberi.
Kaedah
1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti ketiga-tiga
jenis wanita dalam suatu jangka masa.
2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita terhadap
cara pemakaian.
3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang
sama.
4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki:
Lelaki A- Lelaki yang menutup aurat dengan baik
Lelaki B- Lelaki yang suka mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan
memaparkan lutut serta paha sewaktu bersukan atau berjalan-jalan.
Pemerhatian
1) Wanita A kelihatan merendah diri, tenang, happy, ceria, lembut, sopan,
pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan
berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut.
2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala kelihatan
risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada masanya terlepas juga
kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi kembali normal setelah beberapa
ketika. Penulis yang berjurusan senibina pernah menegur seorang studiomate
wanita yang menggunakan spray dengan cara yang salah ketika menyembur model
yang dibuat sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan
marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur kesilapan
yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang dikenakan terhadap
studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut, keadaan kembali normal.
3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang
menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak sombong,
materialistik dan sosial.
4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah, ego
yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah atas kemampuan
orang lain dan lebih agresif.
Kesimpulan
Daripada eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai nilai
J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut
syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam formula yang diberi: J
= mc x tetha.
Oleh itu, hipotesis diterima.
Mengkaji Fizik melalui perspektif Islam
Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang Islam,
individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang tidak faham tentang
Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan kaedah saintifik dan empirik
adalah salah satu cara yang sesuai kerana tak semua daripada mereka akan
menerima jika menyampaikan melalui ilmu Tauhid. Masalah berlaku di Malaysia di
mana persepsi masyarakat berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan
belajar untuk mencari ilmu. Adalah menghampakan situasi yang sama berlaku pada
mereka yang mengambil jurusan agama dan mereka yang menghafal kalam-kalam
Allah. Jika perspektif ini berterusan, mereka tidak akan mampu untuk
mengislamisasi ilmu yang dipelajari, melakukan integrasi antara ilmu duniawi
dan ilmu Islam, menyampaikan ilmu pada peringkat antarabangsa agar mesej Islam
sampai ke serata tempat seterusnya mencapai kecemerlangan menyeluruh.
Seperti yang tertera dalam misi UIA iaitu Triple ICE (Integrations,
Islamizations, Internationalizations dan Comprehensive Excellence), adakah
pelajar UIA akan mencapai misi UIA andai masih lagi belajar untuk bekerja?
Bukan untuk pelajar UIA sahaja, malah kepada pelajar institusi lain sekali.
Tidak malukah kita kepada mereka yang bukan Islam mengkaji ilmu sains melalui
al-Quran lantas memeluk Islam atas kesedaran? Di manakah perginya reputasi
pelajar Islam yang cuba dipertahankan? Fikirkan.
No comments:
Post a Comment