"Kahwin kerana Allah, bukan kerana
nafsu... macamana tu, kak? Realitinya ada keadaan macam ni?" Menarik
juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin
berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca iluvislam. Isu ini cukup menarik
dibincangkan terutama sempena bulan Februari, di mana seluruh dunia menyebut
tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang jatuhnya pada 14 Februari. Walau
apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari Kasih Sayang atau tidak... isu cinta, kasih sayang dan
perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.
Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa
'dicemari' nafsu adalah konsep ideal, indah serta menjanjikan kebahagiaan
sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan
seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau
merealisasikannya dalam kehidupan seharian. Akal sering tersilap menilai
dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat 'kerana Allah'
dan 'kerana nafsu' dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada
'cinta sebelum nikah' atau 'cinta selepas nikah' begitu kabur kerana ia adalah
'soal hati' yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.
Rumahtangga,
rumah dan bilik air
Istilah 'rumahtangga' menggambarkan rumah berserta
keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak
banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat
berlindung, walaupun rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan
sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas,
tempat istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.
Dalam rumah terdapat beberapa... bilik tidur,
dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian
tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat
kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak 'popular' dan bukan
pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia
menjadi resah dan tidak selesa tanpa 'mengunjunginya'. Kelegaan yang dirasa
selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang
digemari dalam rumah tersebut.
Antara
membina rumah dan membina bina bilik air
Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai
metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat 'kerana
Allah' atau 'kerana nafsu'. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada
tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan
selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga yang dibina.
Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika
rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air semata-mata dan
bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya
gunakan untuk membezakan niat antara kahwin 'kerana Allah' dengan 'kerana
nafsu'.
Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat
kahwin 'kerana nafsu'. Jika demikian maka pembinaan 'rumah' itu adalah
semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah
rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat
kahwin 'kerana Allah'. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah
pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan.
Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.
Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula
dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang
kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan
pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya
tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira
sejak dalam proses memilih pasangan.
Misi
dan Visi Perkahwinan
Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua
manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi
penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di
mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi
perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai 'team work' melaksanakan
misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang
paling kukuh dan niat yang paling murni 'kerana Allah'. Ini bermakna
perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.
Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan
khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul
bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai
pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih
sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada
hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang
terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan
dapat diredakan dengan kemaafan.
Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam
banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab
dan kabul. Persepsi 'nafsu' dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan
hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah,
ekpresi kasih sayang dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah
diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul,
hubungan seksual meyandang label jijik, kotor dan hina.
Kerana
Allah – merujuk kepada peraturan-Nya
Niat 'kerana Allah' dalam percintaan dan
perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh
Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika
memilih pasangan untuk membentuk 'team work' rumahtangga, patuhi segala suruhan
dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan
seksual.
Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir
dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan
tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi
pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.
Pencemaran
dalam niat
Niat 'kerana nafsu' digambarkan oleh keadaan dimana
perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar
tak sedar, niat 'menghalalkan' hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih
sayang secara lahiriah kelihatan begitu 'murni'. Ya, sememangnya ini tidak
salah... namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula
dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya
ada juga peraturan Allah yang diambil kira.
Rumahtangga begini tidak akan kukuh, cepat
runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab
dengan mudah akan diketepikan. Kebahagiaannya tidak berpanjangan.
Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik. Anak-anak
yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba
Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi
perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya
bermula di dunia lagi. Na'uzubillah!.
Kerana
Nafsu semata – membujur lalu melintang patah
Ekpresi cinta dan kasih sayang atas dorongan
nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah
tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku
pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan
dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah... inilah gambaran
niat semata-mata 'kerana nafsu'. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman
dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.
Sifat
Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu
"Allah fahamm... kan dia yang ciptakan kita.
Lagipun Allah kan Maha Pengampun..." demikian kata-kata yang lahir dari
dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.
Peluang taubat di eksploitasi semahu-mahunya
sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh
nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta
nafsu semata-mata.
Destinasi
akhir ekspresi cinta
Stesen
terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga
yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu
adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang
diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.
Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia
ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia
memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku
dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang... Semoga Allah memimpin dan memberi
taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman
dan Ar Rahim.
No comments:
Post a Comment